Sunday 20 November 2016

RUMAHKU SYURGAKU BAB 3: KAK! PINJAM TALI NAK UKUR BAJU... (BAHAGIAN 2)

(BERSAMBUNG DARI BAHAGIAN SATU)

Mempunyai pendapatan lebih masa merupakan satu kelebihan pada para pekerja yang hanya mempunyai pendapatan tetap dan elaun tetap.  Adakalanya pendapatan lebih masa atau OT ini mempunyai nilai yang lebih besar dari bayaran elaun tetap yang diterima oleh seseorang.  OT berdasarkan jumlah kerja lebih masa seseorang pekerja pada bulan tersebut.  Bayaran pula bergantung kepada gaji asas seseorang dan berapa jam pula OT yang dilakukan. Secara kasarnya, OT ini kelihatan seperti tetap pada setiap bulan, namun sesetengah pemberi pinjaman tidak melihat OT ini sebagai satu pendapatan yang tetap dan adakalanya jumlah OT bulanan itu akan dikira secara purata untuk mendapatkan satu nilai purata pendapatan. Pendapatan ini akan dimasukkan kedalam kiraan asas gaji peminjam bersama elaun tetap yang lain. Ada sesetengah peminjam bertanyakan:

"kenapa tak kira penuh? kan tu dapat tiap tiap bulan. Memang OT wajib pun ni tuan"
Mengapa? Ini pendapat saya secara rasional. Pemberi pinjaman melihat OT sebagai satu pendapatan yang sering berubah pada setiap bulan. Jika dilihat dari sudut nilai adakalanya ia tidak menentu. Ada masa ianya tinggi dan adakalanya bayaran itu rendah. Ianya berbalik semula kepada faktor jam pekerja itu melakukan kerja lebih masa.  Di sini merupakan satu risiko bagi pihak pemberi pinjaman untuk mengandaikan ianya akan sentiasa kekal pada bila bila masa. OT boleh berubah dengan pelbagai faktor di dalam syarikat seperti penambahan kakitangan ataupun pengurangan pengeluaran. Jika pengurangan pembayaran lebih masa ini berlaku, pihak pemberi pinjaman akan mengandaikan pendapatan yang dimiliki oleh peminjam akan berlaku penyusutan. Bila adanya penyusutan ini, peminjam boleh berhadapan risiko kekurangan tunai untuk melunaskan pembayaran ansuran bulanan mereka tidak termasuk perbelanjaan harian seisi keluarga. Jika perkara ini berlaku, peminjam yang akan mengalami masalah seperti kelewatan pembayaran dan tunggakan. Secara logiknya jika berlaku sudah pasti akan adanya faedah diatas kelewatan pembayaran. Walaupun ini secara kasarnya seperti satu keuntungan kepada pemberi pinjaman namun seboleh bolehnya risiko ini cuba dielakkan dari awal lagi demi menjaga keselesaan si peminjam. Ingat, pembiayaan perumahan anda bukanlah satu pembiayaan yang semudah seperti pembiayaan kereta ataupun kredit kad. Ianya akan melibatkan jumlah faedah yang tinggi tanpa anda sedari lebih lebih lagi jika anda mengambil pinjaman berasaskan sistem konvensional.  Jadi di sini secara tidak langsung pihak pemberi pinjaman cuba untuk melindungi peminjam dari awal lagi tentang kredibiliti dan keupayaan peminjam untuk melunaskan bayaran ansuran bulanan. Diharap selepas ini anda yang mempunyai pembayaran lebih masa didalam penyata gaji bulanan anda akan lebih faham tentang mengapa elaun lebih masa itu tidak dikira sepenuhnya. Kebiasaannya para pegawai pembiayaan akan menerangkan tentang hal ini terlebih dahulu ketika anda membuat permohonan. Jika tidak, anda boleh sahaja bertanyakan kepada mereka untuk mendapatka kepastian.

Isu gaji tunai adalah satu isu yang sering juga berlaku di kalangan kita.  Gaji tunai adalah sesuatu yang sukar untuk dibuktikan nilai sebenarnya hanya berdasarkan slip pembayaran gaji.  Lebih menyukarkan apabila ada sesetengah yang berpendapatan tunai tidak mempunyai potongan KWSP.  Potongan KWSP adalah sesuatu elemen yang membantu pihak pemberi pinjaman untuk menganggarkan gaji bulanan anda. Disitu kiraan boleh dibuat untuk mengandaikan berapakah gaji bulanan anda berdasarkan potongan tetap KWSP anda. Namun jika tiada potongan KWSP, pemberi pinjaman akan sukar untuk menafsir pendapatan anda. Ada juga peminjam yang bertanyakan kepada saya:

"Tuan, habis tu macam mana? takkan selama lamanya saya tak boleh nak memohon apa apa pinjaman tuan? saya memang ada gaji, cuma tak masuk bank je.."

Saya sering menasihatkan para pelanggan di dalam golongan ini dengan cara yang mudah namun harus mempunyai displin yang bagus.  Ingat! Ianya memerlukan displin yang bagus. Jika anda mempunyai gaji tunai, bukalah satu akaun simpanan di mana mana bank tempatan anda berada. Anda boleh membuka akaun simpanan anda di Maybank, CIMB, RHB, Bank Islam, Bank Rakyat, BSN dan bermacam bank lagi. Pilih bank yang memberi keselesaan untuk anda berurusan dari segi pengeluaran dan juga kemasukan wang.  Yuran pembukaan akaun adalah bergantung kepada polisi bank yang anda kunjungi.  Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:


  • Pilih dan buka akaun simpanan di bank pilihan anda. (Ingat! Faktor pengeluaran dan kemasukan wang adalah mudah dan selesa bagi anda).
  • Jika anda menerima gaji tunai pada setiap hujung bulan sebagai contoh pada 30hb atau 31hb, depositkan wang gaji anda pada hari yang sama anda menerimanya. Ini untuk membuktikan pembayaran slip yang anda terima dan nilai kemasukan itu adalah sama. 
  • Bagi yang mempunyai dua kali pembayaran gaji pada setiap bulan, kebiasaannya disebut 'ADVANCE', anda depositkan juga nilai yang anda terima dua kali pada setiap bulan. 
  • Anda cuba untuk mendisplinkan hal ini sekurangnya selama ENAM BULAN berturut turut. 
  • Cetak penyata simpanan anda. Sesetengah bank memberikan penyata simpanan dan urusniaga pada setiap bulan kepada anda. Simpan dan failkan dengan kemas. 
  • Jika anda mempunyai pendapatan lain seperti pendapatan sampingan kecil, masukkan juga ke dalam bank. Ini bagi membuktikan yang anda mempunyai aliran wang tunai keluar dan masuk setiap bulan. 
  • Elakkan menyimpan gaji tunai di rumah, simpankan ia di bank bank yang anda pilih.  Selain daripada menjamin keselamatan, ianya juga untuk membuktikan bahawa anda mempunyai pendapatan pada nilai nilai yang tertentu. 
Tidak kiralah berapa wang gaji tunai yang anda terima, displinkanlah diri untuk membuat simpanan terlebih dahulu. Rekod ini penting untuk membantu anda dalam memohon pembiayaan perumahan. Antara lainnya anda juga boleh melakukan permohonan joint account ketika proses permohonan pembiayaan dengan pasangan anda yang mungkin mempunyai gaji tetap melalui bank. 

IMPIAN VS REALITI

Anda telah pun memilih lokasi yang anda inginkan untuk kediaman anda. Anda juga telah berbincang dengan pasangan anda tentang kediaman jenis apa yang anda impi dan inginkan. Anda juga secara tidak langsung tentu telah memikirkan barang perabot untuk dibawa masuk bukan? Maaf, sekadar bergurau sahaja. 

Perkara pertama dan kedua (LOKASI dan JENIS KEDIAMAN) saya selalu ungkapkan sebagai satu impian. Ini kerana kita mengimpikan sesuatu lokasi dan jenis kediaman yang kita ingini. Perkara ketiga iaitu 'KEMAMPUAN' adalah satu perkara yang saya ungkapkan sebagai 'REALITI'. Mengapa saya berkata sedemikian?   Kerana ini adalah sesuatu yang benar dan tidak dapat dielakkan atau diketepikan. Anda boleh mengimpikan apa jua jenis kediaman yang anda ingini, namun REALITI ini harus selaras dengan apa yang anda inginkan. Antara persoalan KEMAHUAN dan KEPERLUAN, ianya akan membezakan anda dalam mendapatkan kediaman yang anda ingini. Namun jika kita kuat berusaha untuk mencapai keinginan kita, insyaALLAH segalanya akan tertunai jua. Semoga anda mendapat manfaat untuk posting kali ini. 

INGIN MENDAPATKAN KHIDMAT NASIHAT TENTANG PEMILIKAN KEDIAMAN ATAU KHIDMAT NASIHAT KEWANGAN ISLAM? ANDA BOLEH HUBUNGI SAYA DI TALIAN: 0149072756 ATAU EMAILKAN PERTANYAAN ANDA KE keepshout@gmail.com

No comments:

Post a Comment