Sunday 20 November 2016

RUMAHKU SYURGAKU BAB 3: KAK! PINJAM TALI NAK UKUR BAJU... (BAHAGIAN 2)

(BERSAMBUNG DARI BAHAGIAN SATU)

Mempunyai pendapatan lebih masa merupakan satu kelebihan pada para pekerja yang hanya mempunyai pendapatan tetap dan elaun tetap.  Adakalanya pendapatan lebih masa atau OT ini mempunyai nilai yang lebih besar dari bayaran elaun tetap yang diterima oleh seseorang.  OT berdasarkan jumlah kerja lebih masa seseorang pekerja pada bulan tersebut.  Bayaran pula bergantung kepada gaji asas seseorang dan berapa jam pula OT yang dilakukan. Secara kasarnya, OT ini kelihatan seperti tetap pada setiap bulan, namun sesetengah pemberi pinjaman tidak melihat OT ini sebagai satu pendapatan yang tetap dan adakalanya jumlah OT bulanan itu akan dikira secara purata untuk mendapatkan satu nilai purata pendapatan. Pendapatan ini akan dimasukkan kedalam kiraan asas gaji peminjam bersama elaun tetap yang lain. Ada sesetengah peminjam bertanyakan:

"kenapa tak kira penuh? kan tu dapat tiap tiap bulan. Memang OT wajib pun ni tuan"
Mengapa? Ini pendapat saya secara rasional. Pemberi pinjaman melihat OT sebagai satu pendapatan yang sering berubah pada setiap bulan. Jika dilihat dari sudut nilai adakalanya ia tidak menentu. Ada masa ianya tinggi dan adakalanya bayaran itu rendah. Ianya berbalik semula kepada faktor jam pekerja itu melakukan kerja lebih masa.  Di sini merupakan satu risiko bagi pihak pemberi pinjaman untuk mengandaikan ianya akan sentiasa kekal pada bila bila masa. OT boleh berubah dengan pelbagai faktor di dalam syarikat seperti penambahan kakitangan ataupun pengurangan pengeluaran. Jika pengurangan pembayaran lebih masa ini berlaku, pihak pemberi pinjaman akan mengandaikan pendapatan yang dimiliki oleh peminjam akan berlaku penyusutan. Bila adanya penyusutan ini, peminjam boleh berhadapan risiko kekurangan tunai untuk melunaskan pembayaran ansuran bulanan mereka tidak termasuk perbelanjaan harian seisi keluarga. Jika perkara ini berlaku, peminjam yang akan mengalami masalah seperti kelewatan pembayaran dan tunggakan. Secara logiknya jika berlaku sudah pasti akan adanya faedah diatas kelewatan pembayaran. Walaupun ini secara kasarnya seperti satu keuntungan kepada pemberi pinjaman namun seboleh bolehnya risiko ini cuba dielakkan dari awal lagi demi menjaga keselesaan si peminjam. Ingat, pembiayaan perumahan anda bukanlah satu pembiayaan yang semudah seperti pembiayaan kereta ataupun kredit kad. Ianya akan melibatkan jumlah faedah yang tinggi tanpa anda sedari lebih lebih lagi jika anda mengambil pinjaman berasaskan sistem konvensional.  Jadi di sini secara tidak langsung pihak pemberi pinjaman cuba untuk melindungi peminjam dari awal lagi tentang kredibiliti dan keupayaan peminjam untuk melunaskan bayaran ansuran bulanan. Diharap selepas ini anda yang mempunyai pembayaran lebih masa didalam penyata gaji bulanan anda akan lebih faham tentang mengapa elaun lebih masa itu tidak dikira sepenuhnya. Kebiasaannya para pegawai pembiayaan akan menerangkan tentang hal ini terlebih dahulu ketika anda membuat permohonan. Jika tidak, anda boleh sahaja bertanyakan kepada mereka untuk mendapatka kepastian.

Isu gaji tunai adalah satu isu yang sering juga berlaku di kalangan kita.  Gaji tunai adalah sesuatu yang sukar untuk dibuktikan nilai sebenarnya hanya berdasarkan slip pembayaran gaji.  Lebih menyukarkan apabila ada sesetengah yang berpendapatan tunai tidak mempunyai potongan KWSP.  Potongan KWSP adalah sesuatu elemen yang membantu pihak pemberi pinjaman untuk menganggarkan gaji bulanan anda. Disitu kiraan boleh dibuat untuk mengandaikan berapakah gaji bulanan anda berdasarkan potongan tetap KWSP anda. Namun jika tiada potongan KWSP, pemberi pinjaman akan sukar untuk menafsir pendapatan anda. Ada juga peminjam yang bertanyakan kepada saya:

"Tuan, habis tu macam mana? takkan selama lamanya saya tak boleh nak memohon apa apa pinjaman tuan? saya memang ada gaji, cuma tak masuk bank je.."

Saya sering menasihatkan para pelanggan di dalam golongan ini dengan cara yang mudah namun harus mempunyai displin yang bagus.  Ingat! Ianya memerlukan displin yang bagus. Jika anda mempunyai gaji tunai, bukalah satu akaun simpanan di mana mana bank tempatan anda berada. Anda boleh membuka akaun simpanan anda di Maybank, CIMB, RHB, Bank Islam, Bank Rakyat, BSN dan bermacam bank lagi. Pilih bank yang memberi keselesaan untuk anda berurusan dari segi pengeluaran dan juga kemasukan wang.  Yuran pembukaan akaun adalah bergantung kepada polisi bank yang anda kunjungi.  Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:


  • Pilih dan buka akaun simpanan di bank pilihan anda. (Ingat! Faktor pengeluaran dan kemasukan wang adalah mudah dan selesa bagi anda).
  • Jika anda menerima gaji tunai pada setiap hujung bulan sebagai contoh pada 30hb atau 31hb, depositkan wang gaji anda pada hari yang sama anda menerimanya. Ini untuk membuktikan pembayaran slip yang anda terima dan nilai kemasukan itu adalah sama. 
  • Bagi yang mempunyai dua kali pembayaran gaji pada setiap bulan, kebiasaannya disebut 'ADVANCE', anda depositkan juga nilai yang anda terima dua kali pada setiap bulan. 
  • Anda cuba untuk mendisplinkan hal ini sekurangnya selama ENAM BULAN berturut turut. 
  • Cetak penyata simpanan anda. Sesetengah bank memberikan penyata simpanan dan urusniaga pada setiap bulan kepada anda. Simpan dan failkan dengan kemas. 
  • Jika anda mempunyai pendapatan lain seperti pendapatan sampingan kecil, masukkan juga ke dalam bank. Ini bagi membuktikan yang anda mempunyai aliran wang tunai keluar dan masuk setiap bulan. 
  • Elakkan menyimpan gaji tunai di rumah, simpankan ia di bank bank yang anda pilih.  Selain daripada menjamin keselamatan, ianya juga untuk membuktikan bahawa anda mempunyai pendapatan pada nilai nilai yang tertentu. 
Tidak kiralah berapa wang gaji tunai yang anda terima, displinkanlah diri untuk membuat simpanan terlebih dahulu. Rekod ini penting untuk membantu anda dalam memohon pembiayaan perumahan. Antara lainnya anda juga boleh melakukan permohonan joint account ketika proses permohonan pembiayaan dengan pasangan anda yang mungkin mempunyai gaji tetap melalui bank. 

IMPIAN VS REALITI

Anda telah pun memilih lokasi yang anda inginkan untuk kediaman anda. Anda juga telah berbincang dengan pasangan anda tentang kediaman jenis apa yang anda impi dan inginkan. Anda juga secara tidak langsung tentu telah memikirkan barang perabot untuk dibawa masuk bukan? Maaf, sekadar bergurau sahaja. 

Perkara pertama dan kedua (LOKASI dan JENIS KEDIAMAN) saya selalu ungkapkan sebagai satu impian. Ini kerana kita mengimpikan sesuatu lokasi dan jenis kediaman yang kita ingini. Perkara ketiga iaitu 'KEMAMPUAN' adalah satu perkara yang saya ungkapkan sebagai 'REALITI'. Mengapa saya berkata sedemikian?   Kerana ini adalah sesuatu yang benar dan tidak dapat dielakkan atau diketepikan. Anda boleh mengimpikan apa jua jenis kediaman yang anda ingini, namun REALITI ini harus selaras dengan apa yang anda inginkan. Antara persoalan KEMAHUAN dan KEPERLUAN, ianya akan membezakan anda dalam mendapatkan kediaman yang anda ingini. Namun jika kita kuat berusaha untuk mencapai keinginan kita, insyaALLAH segalanya akan tertunai jua. Semoga anda mendapat manfaat untuk posting kali ini. 

INGIN MENDAPATKAN KHIDMAT NASIHAT TENTANG PEMILIKAN KEDIAMAN ATAU KHIDMAT NASIHAT KEWANGAN ISLAM? ANDA BOLEH HUBUNGI SAYA DI TALIAN: 0149072756 ATAU EMAILKAN PERTANYAAN ANDA KE keepshout@gmail.com

RUMAHKU SYURGAKU BAB 3: KAK! PINJAM TALI NAK UKUR BAJU...(BAHAGIAN 1)

"UKURLAH BAJU BADAN SENDIRI"

Pepatah orang lama bila bersangkut paut dengan kemampuan diri kita sendiri.  Apa kaitan pepatah ini dengan tajuk posting saya? Sangat berkaitan sebenarnya.  Kita dah berbual secara sekilas pandang mengenai lokasi dan jenis rumah. Kali ini kita berbual off topic sikit tapi agak penting sebenarnya kerana ia bersangkutan dengan kemampuan. Ya, kemampuan. Dimana kemampuan ini menjadi satu titik tolak yang amat penting didalam anda merancang untuk sesuatu pembelian terutamanya sebuah kediaman. 

"KALAU ENCIK AMBIL RUMAH INI, PINJAMAN ENCIK BESAR. INSTALLMENT PUN TINGGI NI TUAN..."

"Nak risau apa...gaji aku besar"
"errr... boleh join income dengan wife kan? so apa nak risau"
"bang... gaji saya ni banyak OT... boleh la cover instalment"
"wa gaji cash..... so kira apa macam?"

Ini diantara perbualan yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu ketika saya bertugas di salah sebuah institusi perbankan Islam utama di Johor. Banyak lagi sebenarnya dialog dialog yang merupakan dialog mengenai kemampuan tetapi sengaja saya ambil empat dialog ini yang selalu sangat saya dengari. Tiada apa yang salah mengenai dialog di atas. Sebelum saya kupas lebih lanjut, saya tekankan sekali lagi, bahawa tiada apa yang salah dalam dialog tersebut. Cuma anda daripada golongan dialog yang manakah nanti? 

Bergaji besar merupakan satu bonus bagi anda untuk membuat pinjaman dalam membeli sesebuah kediaman. Dengan pendapatan yang besar anda boleh saja memiliki mana mana saja kediaman di dalam lingkungan pendapatan anda tanpa sebarang kesukaran ketika proses permohonan.  Ditambah lagi jika anda merupakan seorang 'Pay Master' yang baik. Ini boleh dilihat dari segi cara anda membayar ansuran bulanan bagi setiap fasiliti yang anda miliki samaada dari pihak bank atau institusi kredit seperti Aeon, Courts dan pelbagai lagi.  Dengan rekod yang baik ditambah dengan pendapatan yang besar, anda selangkah ke hadapan dalam memiliki kediaman impian anda. 

Pendapatan bersama atau Joint account merupakan satu perkara yang begitu lazim di dapati ketika seorang pembeli memohon pinjaman.  Ini merupakan satu kemudahan yang diberikan oleh pihak pemberi pinjaman untuk memudahkan anda membuat pinjaman. Dengan adanya sistem ini, jumlah pendapatan gaji anda akan ditambah dengan gaji pasangan anda. Ini akan menghasilkan satu jumlah yang besar, namun harus diingat bahawa jumlah hutang anda juga akan dicampurkan menjadi satu juga. Hutang yang dikira kini meliputi semua yang terlihat di dalam ccris anda (boleh print kat bank negara kalau nak semak ccris sendiri).  Dari situ akan dikira pula jumlah ansuran yang mampu untuk anda bayar mengikut garis panduan yang pihak bank telah tetapkan. Sebagai contoh saya tunjukkan di bawah ini: 

SUAMI

PENDAPATAN KASAR -  RM3000

ISTERI

PENDAPATAN KASAR -  RM2500


JUMLAH PENDAPATAN KASAR KEDUANYA RM5,500.00

DI TOLAK JUMLAH HUTANG KASAR 

SUAMI 

HUTANG KERETA - RM600
HUTANG KREDIT KAD - RM300 (BAYARAN MINIMUM BULANAN)
HUTANG PINJAMAN PERIBADI - RM200

ISTERI
HUTANG KERETA RM450
HUTANG KREDIT KAD - TIADA
HUTANG PINJAMAN PERIBADI - TIADA

JUMLAH HUTANG KASAR RM1550

JUMLAH PENDAPATAN BERSIH - RM3,950

Namun jumlah ini belum lagi ditolak dengan perkiraan potongan KWSP yang tertera di dalam payslip atau penyata gaji anda.  Dari jumlah potongan itu lah akan dimasukkan ansuran pinjaman perumahan dan pihak pemberi pinjaman akan menilai kelayakan anda mengikut jumlah pendapat bersih setelah ditolak segala potongan dan ansuran.  

Jika di dalam perbankan Islamik, wujud sistem MRTA di mana takaful ini melindungi peminjam dari gagal membayar pinjaman akibat kematian. Pendek kata satu perlindungan khairat ke atas peminjam ke atas pinjaman yang diberikan. Ketika saya bertugas dahulu, sering kali saya menitikberatkan pembahagian MRTA ini sebaik mungkin. Seeloknya 100% ke atas setiap individu. Kerana kita tidak tahu apakah yang bakal terjadi namun kita mampu menyediakan perlindungan dari seawalnya. 


BERSAMBUNG KE BAHAGIAN DUA

INGIN MENDAPATKAN NASIHAT TENTANG PEMILIKAN HARTANAH? PINJAMAN PERUMAHAN? SERTA PENGURUSAN KEWANGAN ANDA? SILA HUBUNGI KAMI MELALUI WHATSAPP 0149072756. "INSYAALLAH KAMI SEDIA MEMBANTU ANDA MEMAHAMINYA"

Saturday 19 November 2016

RUMAHKU SYURGAKU BAB 2: NAK BELI RUMAH APA EK?

Macam mana? Dah berbincang dengan pasangan anda tentang lokasi rumah yang ingin anda miliki? Dah fikir dalam dalam tentang lokasi tersebut? Saya beranggapan anda selesai melakukan perbincangan tersebut bersama pasangan anda.

Sekarang mari kita berbual tentang jenis rumah yang ingin anda miliki. Terlalu banyak jenis rumah yang ada di sekitar kita, jadi saya hanya ambil contoh beberapa jenis rumah yang mungkin sesuai untuk dibicarakan.

YANG TINGGI ATAU YANG RENDAH? 

Satu persoalan yang sering bermain di fikiran kita, nak beli kediaman jenis yang bagaimana. Apartment? Teres? Bungalow? Flat? Kondo? Studio? Villa? Jawapannya adalah subjektif.  Ianya bersesuaian dengan corak kehidupan keluarga anda, bilangan ahli keluarga anda dan yang paling penting cara anda ingin mendapat privasi dari sekeliling anda.

Anda jenis ramah mesra bersama jiran tetangga anda? Pilihlah rumah teres yang bersesuaian dengan anda. Suasana kejiranan yang agak meriah ketika musim perayaan dapat dirasai. Jika nak pulang ke kampung pun tak menjadi masalah untuk meminta bantuan jiran di kiri dan kanan anda untuk membantu memantau keadaan rumah anda. Dengan adanya teres mungkin anak anda boleh saja bermain di dalam pagar bersama sama rakan rakannya. Ianya juga mudah untuk melihat kehadiran orang yang tidak dikenali. Terutama mereka yang datang untuk menjual barang. Tidak dinafikan jika manusia hendak berbuat jahat, berbagai cara mereka boleh lakukan untuk berpura pura. Namun kita mempunyai tugas untuk menyediakan langkah langkah keselamatan bagi mencegah perkara yang tidak diingini.

Untuk memiliki kediaman teres, mungkin ianya perlu satu perbelanjaan yang agak besar. Ianya bersesuaian dengan lokasi yang telah anda pilih. Ada yang berharga RM200k sehingga kepada harga yang tidak mampu untuk anda bayangkan. Lokasi yang anda pilih memainkan peranan.  Tapi ada caranya untuk mendapatkan harga rumah yang mampu anda miliki. Itu saya akan bincangkan dalam topik yang akan datang. Berbalik kepada rumah jenis teres, jika anda mempunyai bilangan keluarga yang agak besar, mungkin teres adalah yang sebaiknya.  Namun bagaimana pula kelebihan memiliki kediaman seperti apartment atau flat?

Apartment atau flat ataupun kondominium sering menjadi tumpuan mereka yang ingin mendapatkan privasi. Flat menjadi rebutan di kalangan ramai warga kerana harganya yang lebih murah jika dibandingkan dengan memiliki kediaman berbentuk teres. Adakalanya juga apartment yang anda lihat jauh lebih murah dari rumah teres satu tingkat di lokasi yang sama. Ini kerana teres melibatkan tanah dan struktur binaan. Sedangkan Apartment atau Flat ianya melibatkan sebuah unit didalam sebuah bangunan yang dibina.

Bagi mereka yang ingin pertama kali membeli kediaman, saya sarankan bermula dari jenis yang paling rendah kerana harganya yang mampu dimiliki.  Pembayaran bulanan bergantung kepada jumlah pinjaman anda, jadi sudah tentu saja harga rumah dan jenis rumah yang anda inginkan mempengaruhi perbelanjaan poket bulanan anda.

Apabila anda bermula dengan kediaman yang paling rendah status dan nilainya, secara tak langsung ianya bakal menjadi pelaburan anda di masa hadapan.

Sebagai contoh, seorang rakan membeli kediaman berbentuk flat pada satu ketika dahulu dengan harga RM35k. Ketika itu beliau membayar ansuran pinjaman dengan nilai yang agak rendah.  Dalam tempoh 10 tahun, beliau telah mula membeli sebuah kediaman teres untuk rumah keduanya. Beliau pada mulanya ingin menjual rumah tersebut kerana nilai pasaran yang agak tinggi. Namun setelah melihat dari sudut jangka masa yang lebih panjang, nilai sewaan yang dikenakan mampu membantu beliau dalam meringankan pembayaran bulanan terhadap rumah keduanya. Nilai rumah pertama yang dibelinya kini mencecah hampir RM100k dan yang lebih penting, pinjaman rumah tersebut telah pun dilunaskan oleh beliau dalam masa tidak sampai 30 tahun pinjaman.

Itu adalah sekadar contoh yang saya berikan.  Tidak kira apa jua jenis rumah yang anda miliki, baik teres mahupun apartment ianya tetap merupakan aset anda. Fikir dan bincangkan jenis milikan yang anda inginkan. Status bumi lot atau antarabangsa? Pegangan bebas mahupun pajakan? ianya semua akan memberikan kesan kepada harga kediaman yang anda ingini.


INGINKAN LEBIH MAKLUMAT NASIHAT MENGENAI CARA MEMILIKI SEBUAH RUMAH? WHATSAPP KE 0149072756 "INSYAALLAH KAMI AKAN BANTU ANDA"

RUMAHKU SYURGAKU BAB 1: LOKASI

GAMBAR SEKADAR HIASAN: HOBI SNAP SANA SINI


Bila sebut tentang rumah pada masa kini, ia merupakan satu subjek yang amat memeningkan kepala bagi sesetengah daripada kita.  Faktor kewangan menjadi titik utama dalam kita menentukan jenis rumah yang ingin kita beli. Benar jika diikutkan keinginan kita ini, kita mahu saja membeli rumah yang amat selesa. Namun keselesaan itu ada harganya.

Lokasi memainkan peranan penting dalam harga sesebuah kediaman yang ingin kita miliki. Tidak kiralah apa jenis sekalipun atau status milikan sekalipun, lokasi memainkan peranan paling utama.
Faktor ekonomi semasa juga mampu mempengaruhi harga sesebuah kediaman.  Jika dahulu kita lihat rumah yang berskala 20 x 70 boleh dimiliki dengan harga di bawah RM200,000 namun kini agak sukar untuk mencari kediaman berskala ini pada harga sedemikian.  Jika ada pun sesetengahnya merupakan kediaman yang sedang dilelong oleh pihak bank.

Ambil sebagai contoh, sebuah kediaman yang hampir dengan segala kemudahan mempunyai harga yang jauh berbeza dengan sebuah kediaman yang jauh dari segala kemudahan. Kemudahan yang dimaksudkan ini boleh dibahagikan dari pelbagai sudut antaranya:


  • Masjid
  • Sekolah
  • Stesen Minyak
  • Bank
  • Balai Polis
  • Balai Bomba
  • Hospital
  • Universiti
  • Pusat Perniagaan
  • Jabatan Kerajaan
  • Kawasan Membeli Belah Utama 
  • Lebuhraya dan Bermacam macam lagi. 


Ini baru sedikit faktor-faktor yang menentukan harga sesetengah kediaman.  Adakalanya faktor seperti reka bentuk rumah, pemaju yang membina perumahan juga di ambil kira dalam menentukan harga kediaman tersebut.

10 tahun dahulu untuk mencari sebuah rumah pangsa kos rendah dengan nilai di bawah RM50,000 adalah mudah. Walaupun ianya mempunyai pelbagai kemudahan di sekitarnya.  Pada ketika itu harga lelong sekitar dalam RM17,000 hingga ke RM25,000. Beruntunglah mereka yang dari dahulu telah membeli atau mula melabur dalam sektor hartanah ini.

Lokasi ini bukan sahaja melibatkan infrastruktur di sekeliling kediaman anda. Malahan apa yang ada di depan, di belakang, di kiri mahupun di kanan anda juga memainkan peranan penting. Sebagai contoh ambil saja sebuah rumah teres satu tingkat yang berhadapan dengan sebuah taman permainan dan juga sebuah rumah terese satu tingkat dari jenis yang sama berhadapan dengan tanah bukit ataupun berdekatan dengan kawasan loji pembersihan. Ianya mungkin akan berakhir dengan harga pasaran yang amat berbeza sekali.

Lokasi yang berdekatan dengan tempat anda bekerja juga kadang kala memainkan peranan penting. Jika and berkerja atau berkhidmat di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi sebagai contoh di bandar bandar besar, mungkin harga kediaman yang anda ingin miliki berbeza dengan kediaman yang agak jauh dari kawasan ini. Kos perjalanan dari kediaman ke tempat kerja juga memainkan peranan penting dalam anda memilih lokasi kediaman. Ditambah dengan faktor harga petrol yang turun naik di pasaran dan kos sara hidup membesarkan anak anak, ini juga mungkin menjadi satu faktor yang anda ingin fikirkan secara lebih mendalam.

Jika lokasi kediaman anda agak jauh dari tempat anda bekerja, anda mungkin harus mempunyai langkah atau pelan sokongan untuk menampung kos kos di luar jangkaan. Sebagai contoh kos jika berlakunya sebarang kecemasan, kos penjagaan anak di nursery atau di sekolah jika mereka bersekolah jauh dari tempat kerja anda dan kediaman anda. Ada pasangan suami isteri yang mempunyai tempat kerja yang berbeza di antara satu sama lain. Masing masing inginkan sebuah kediaman yang dekat dengan lokasi pekerjaan mereka. Di sini perbincangan merupakan langkah penting untuk anda memilih lokasi yang sesuai. Biasanya seorang suami akan memilih sebuah kediaman yang hampir dengan tempat kerja isteri mereka. Ini kerana ia melibatkan faktor keselamatan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Bagi mereka yang meninggalkan anak mereka di nursery untuk penjagaan harian, faktor perjalanan juga memainkan peranan penting.  Jika terlambat untuk mengambil anak anak, maka bertambahlah kos penjagaan mereka kerana caj lebih masa.

Jadi secara amnya sebelum memiliki sebuah kediaman, selidikilah sebaik mungkin di mana lokasi yang anda inginkan. Bincang dan fikirkanlah sebaik mungkin sebelum anda membeli sesebuah kediaman itu. Lokasi mungkin akan menyelamatkan anda dan mungkin juga ianya boleh memberikan satu bebanan tambahan dari segi kewangan.

Apa yang saya tuliskan ini hanyalah bersandarkan kepada pengalaman dan anda boleh saja menyangkal apa yang saya tuliskan di sini.  Anggaplah ini sekadar perkongsian dari seorang rakan kepada seorang rakan.


INGIN MEMBELI RUMAH? INGIN MENDAPATKAN KHIDMAT NASIHAT?
HUBUNGI SAYA DI TALIAN 0149072756 "INSYAALLAH KAMI BANTU"

SALAM KENAL

First of all, mesti ada yang tertanya tanya kenapa aku wujudkan blog ni.  Actually aku buat blog ni sebab suka suka. Secara tak langsung mungkin ada serba sedikit pengalaman hidup aku yang boleh aku kongsikan secara tak langsung kepada anda semua di luar sana.

Apa yang aku tuliskan di dalam blog aku ini hanyalah pandangan aku dan pemikiran aku yang mungkin tak seberapa jika dibandingkan dengan orang lain. Mungkin ianya luahan kata hati aku, mungkin ianya perkongsian kehidupan aku yang turun naik macam roda basikal kat kedai Mr Yap. Namun aku cuba untuk memberikan serba sedikit tips yang mungkin berguna atau mungkin tidak (bagi sesetengah orang) agar kita sama sama memperolehi kebaikan. Aku tak adalah nak mengatakan yang aku seorang bijak pandai. Pengalaman lalu mungkin ada bagusnya jika dikongsi bersama.

Respon rakan rakan membuatkan aku menulis. Ada yang berkata "wei bro.. nape ko tak kongsikan dengan orang semua?" . Hmmm... susah bagi aku untuk aku katakan. Sebab aku takde media sosial sehangat orang lain. Facebook memang aku takde. Yang ada hanyalah instagram yang aku update sekali sekala dan punya followers yang boleh dikira dengan jari jemari.


Namun sesuatu di dalam fikiran aku membuatkan aku ingin berkongsikan hal ini. Berkongsikan segala galanya. Terpulang kepada mereka yang membacanya.

Secara ringkas aku nyatakan di sini, aku tak pandai nak blogging apatah lagi nak sibuk cari orang buatkan blog aku. Yang aku tahu, aku hentam sahaja. Yang penting korang paham apa yang aku cuba sampaikan. So, selamat berkenalan dan semoga ada manfaat di dalam penulisan aku. Adios dan Assalamualaikum..